بِسْــــــــــــــــــمِ اﷲِالرَّحْمَنِ اارَّحِيم


40 Hadith Tentang Peristiwa Akhir Zaman

Assalamualaikum dan salam sejahtera. 'Himpunan 40 Hadith (Hadis) tentang Peristiwa Akhir Zaman' ini diteruskan lagi kebahagian 3 yang semakin menjelaskan pelbagai keadaan umat Islam dan suasana serta peristiwa yang telah dan bakal berlaku di dunia ini.

Semua ini bukanlah satu ramalan kosong tetapi sesuatu kejadian yang pasti berlaku. Keyakinan kita kepadanya adalah satu akidah yang harus kita pertahankan. Semoga ianya akan menjadi panduan berguna buat kita agar tidak lalai dan terleka dengan nikmat duniawi.

40 HADIS TENTANG PERISTIWA AKHIR ZAMAN
(Bahagian 3 : Hadis 21 ~ 30)

HADIS 21: AHLI IBADAT YANG JAHIL DAN ULAMA YANG FASIQ
Daripada Anas r.a. berkata, bersabda Rasulullah saw., "Selagi akan ada di akhir zaman ahli ibadat yang jahil dan ulama yang fasiq". (Riwayat Ibnu Ady)

Keterangan:
Nabi saw. menerangkan di akhir zaman nanti akan ada dua golongan ini. Ada orang jahil yang rajin beribadat dan ada pula orang alim yang fasiq. Sebenarnya syaitan telah berusaha sedapat mungkin untuk menyesatkan manusia. Oleh kerana itu ia menggunakan beberapa cara yang berlainan kepada orang-orang yang berlainan pula.

Bagi si jahil, syaitan selalu menyuruhnya supaya rajin berbuat ibadat, kerana ibadat orang yang jahil itu tidak sah dan tidak diterima di sisi Allah swt. Syaitan tidak mahu orang jahil itu rajin mengaji kerana bila ia mengaji ia akan memperbaiki ibadatnya, maka ibadat tersebut akan diterima oleh Allah swt yang bererti kekalahan di pihak syaitan.

Begitu pula halnya dengan si Alim yang sudah banyak ilmunya. Syaitan akan menyuruhnya malas beribadat dengan mengemukakan bermacam-macam alasan, sehingga Si Alim ini meninggalkan kefardhuannya. Maka dengan itu ilmu yang ada di dalam dadanya tidak berfaedah, bahkan akan menjadi musuh kepadanya pada hari qiamat nanti.

Maka itu lah kejayaan syaitan dalam usahanya. Gejala yang sebegini rupa dapat dilihat di dalam masyarakat kita, di mana yang rajin beribadat ini adalah orang yang jahil dan yang mengabaikan halhal ibadat ini pula adalah terdiri daripada orang yang mempunyai ilmu pengetahuan.

HADIS 22: ORANG YANG BERPEGANG DENGAN AGAMANYA SEPERTI MEMEGANG BARA API
Daripada Anas r.a. bekata, Rasulullah saw. bersabda, "Akan datang kepada umat ku suatu zaman di mana orang yang berpegang kepada agamanya laksana menggenggam bara api”. (Riwayat Tirmizi)

Keterangan:
Yang dimaksudkan di sini ialah zaman yang sangat mencabar sehingga sesiapa yang hendak mengamalkan ajaran agamanya ia terpaksa menghadapi kesusahan dan tentangan yang sangat hebat. Kalau ia tidak bersungguh-sungguh, nescaya agamanya terlepas dari genggamannya.

Ini adalah disebabkan suasana disekelilingnya tidak membantu untuk ia menunaikan kewajiban agamanya, bahkan apa yang ada disekelilingnya mendorong untuk membuat kemaksiatan dan perkara-perkara yang dapat meruntuhkan aqidah dan keimanan atau paling kurang menyebabkan kefasiqan.

lni juga bermaksud, orang Islam tersepit dalam melaksanakan tuntutan agamanya di samping tidak mendapat kemudahan.

HADIS 23: GOLONGAN RUWAIBIDHAH
Daripada Abu Hurairah r.a. berkata, Rasulullah saw. bersabda. "Lagi akan datang kepada manusia tahun-tahun yang tandus (kemarau panjang). Dan pada waktu itu orang yang berdusta dikatakan benar dan orang yang benar dikatakan berdusta. Orang khianat akan disuruh memegang amanah dan orang yang amanah dikatakan pengkhianat. Dan yang berpeluang bercakap hanyalah golongan "Ruwaibidhah"”. Sahabat bertanya, "Apakah Ruwaibidhah itu hai Rasulullah?". Nabi saw. menjawab, "Orang yang kerdil dan sebenarnya hina dan tidak mengerti urusan orang ramai”. (Riwayat Ibnu Majah)

Keterangan:
Zaman yang disebutkan tadi adalah zaman ketandusan. Tandus di segi material dan juga tandus di segi pemikiran. Orang yang benar akan diketepikan dan orang yang khianat serta fasiq akan disanjung dan dibesar-besarkan.

Orang yang benar tidak diberikan peluang untuk bercakap. Yang berpeluang bercakap hanyalah peribadi-peribadi yang hina dan sebenarnya tidak tahu bagaimana untuk menyelesaikan masalah-masalah yang dihadapi oleh masyarakat.

HADIS 24: PEPERANGAN DEMI PEPERANGAN
Daripada Abu Hurairah r.a., bahawasanya Rasulullah saw. bersabda, "Hari qiamat tidak akan terjadi sehingga melimpah ruah harta benda dan timbul fitnah (ujian kepada keimanan) dan banyak berlaku 'al-Harj'". Sahabat bertanya, "Apakah al-Hajr itu hai Rasulallah"? Nabi saw. menjawab, "Peperangan demi peperangan demi peperangan". (Riwayat Ibnu Majah)

Keterangan:
Realiti dunia hari ini membuktikan kebenaan sabda junjungan kita Nabi saw. Harta benda melimpah ruah. Banyak alat-alat moden yang dihasilkan oleh teknologi Barat dan Timur sehingga bertambah banyak alatan dan keperluan hidup.

Maka oleh kerana itu ramai orang yang berlumba-lumba untuk mengaut keuntungan dalam membuat dan memperdagangkan alat-alat tersebut. Dan oleh kerana masing-masing tamak dan rakus maka terjadilah perebutan yang mengakibat berlakunya peperangan demi peperangan.

Dari semasa ke semasa peperangan berkobar dengan tiada henti-hentinya. Padam di suatu tempat menyala pula ditempat yang lain. Satu sama lain saling cakar mencakari. Semakin maju teknologi, semakin terseksa manusia kerananya.

Sebenarnya teknologi tidaklah bercanggah dengan Islam, tetapi ia mestilah tunduk kepada etika kemanusiaan yang didukung oleh Islam itu sendiri. Sedangkan teknologi yang ditaja oleh dunia barat hari ini adalah berdasarkan kepada kepentingan peribadi dan mengikut telunjuk hawa nafsu yang rakus sehingga teknologi itu digunakan untuk menghancurkan nilai-nilai kemanusian itu sendiri.

Nampaknya, begitulah keadaan yang berlaku dari umur dunia ini, sehinggalah sampailah ketitik akhirnya, iaitu qiamat.

HADIS 25: MASA AKAN MENJADI SINGKAT
Daripada Anas bin Malik r.a. berkata: Rasulullah saw. bersabda; "Tidak akan terjadi qiamat sehingga masa menjadi singkat maka setahun dirasakan seperti sebulan dan sebulan dirasakan seperti seminggu dan seminggu dirasakan seperti sehari dan sehari dirasakan seperti satu jam dan satu jam dirasakan seperti satu petikan api". (Riwayat Tirmizi)

Keterangan:
Masa akan berlalu begitu cepat. Belum sempat berbuat sesuatu, tiba-tiba masa sudah terlalu larut, sehingga banyak perkara yang belum dapat diselesaikan. Kita seakan-akan sibuk, tetapi kita tidak faham apa yang disibukkan. Kita diburu masa dan ia berlalu dengan tiada ada perkara yang dapat kita selesaikan. Inilah yang dimaksudkan dengan singkatnya masa.

Menurut Imam al-Karmani, yang dimaksudkan dengan singkatnya masa ini ialah dicabut keberkatan daripadanya. Memang benar apa yang dikatakan oleh Imam al-Karmani itu, dahulunya kita merasakan dalam sehari banyak perkara yang dapat kita laksanakan, tetapi sekarang dalam sehari yang sama hanya sedikit perkara-perkara yang dapat kita laksanakan. Ini adalah satu petanda hampirnya qiamat.

HADIS 26: MUNCULNYA GALIAN-GALIAN BUMI
Daripada Ibnu Omar r.a. berkata: “Pada suatu masa dibawa ke hadapan Rasulullah saw. sepotong emas. Dan emas itu adalah emas zakat yang pertama sekali dikutip. Emas itu telah dibawa oleh Bani Sulaim dari tempat tambang (galian) mereka. Maka sahabat berkata: "Hai Rasulullah! Emas ini adalah hasil dari galian kita". Lalu Nabi saw. menjawab, "Nanti kamu akan dapati banyak galian-galian, dan yang akan menguruskannya adalah orang-orang yang jahat". (Riwayat Baihaqi)

Keterangan:
Tepat sekali apa yang telah disabdakan oleh Rasulullah saw. sejak limabelas abad yang lalu. Hari ini dunia Islam sangat kaya dengan galian bumi, seperti emas, perak, timah, petrol dan lain-lain, tetapi yang menguruskan dan yang menguasainya adalah orang-orang yang bukan Islam.

Ini adalah suatu realiti yang sangat jelas di mata kita dan merupakan salah satu di antara petanda hampirnya hari qiamat.

HADIS 27: TANAH ARAB YANG TANDUS MENJADI LEMBAH YANG SUBUR
Daripada Abu Hurairah r.a. berkata: Bersabda Rasulullah saw.; "Tidak akan terjadi qiamat sehinggalah Tanah Arab (yang tandus itu) menjadi lembah yang subur dan dialiri sungai-sungai". (Riwayat Muslim)

Keterangan:
Sekarang kita telab mula menyaksikan kebenaran sabdaan junjungan kita ini. Kita banyak melihat tanah Arab yang dahulunya tandus dan kering kontang tetapi sekarang telah mulai menghijau dan ditumbuhi rumput-rumput dan pohon-pohon kayu.

Contohnya, Padang Arafah yang ada di Makkah al-Mukarramah yang dahulunya hanya dikenali sebagai padang yang tandus dan tidak ada pohon kayu. Sekarang ini Padang Arafah dipenuhi pohon-pohon kayu, sehingga kelihatan menghijau dan kita dapat berteduh dibawah naungannya.

Keadaan ini walaupun menyejukkan mata memandang namun ia mengurangkan gambaran suasana padang Mahsyar, tempat berhimpunnya seluruh makhluk pada hari qiamat nanti yang merupakan tujuan utama dan pelajaran penting yang diambil dari suasana wuquf jamaah Haji di Padang Arafah pada setiap 9 Zulhijjah tahun Hijriah.

HADIS 28: UJIAN DAHSYAT TERHADAP IMAN
Daripada Abu Hurairah r.a. bahawasanya Rasulullah saw. bersabda; "Bersegeralah kamu beramal sebelum menemui fitnah (ujian berat terhadap iman) seumpama malam yang sangat gelap. Seseorang yang masih beriman di waktu pagi, kemudian pada waktu petang dia sudah menjadi kafir, atau (Syak Perawi Hadis) seseorang yang masih beriman diwaktu petang, kemudian pada esok harinya, dia sudah menjadi kafir. Ia telah menjual agamanya dengan sedikit dari mata benda dunia." (Riwayat Muslim)

Keterangan:
Hadis ini menerangkan kepada kita betapa dahsyat dan hebatnya ujiaan terhadap iman seseorang diakhir zaman. Seseorang yang beriman di waktu pagi, tiba-tiba dia menjadi kafir diwaktu petang. Begitu pula dengan seseorang yang masih beriman di waktu petang, tiba-tiba pada esok paginya telah menjadi kafir. Begitu pantas dan cepat perubahan yang berlaku.

Iman yang begitu mahal boleh gugur di dalam godaan satu malam atau satu hari sahaja, sehingga ramai orang yang menggadaikan imannya kerana hanya hendak mendapatkan sedikit dari harta benda dunia. Dunia lebih dicintai di sisi mereka daripada iman.

Dan menurut riwayat Ibnu Majah, beliau menambahkan, "kecuali orang yang hatinya dihidupkan Allah swt. dengan ilmu". Mudah-mudahan Allah swt. menjadikan kita di antara orang yang berilmu dan mengamalkan ilmunya, sehingga dengan itu Allah Swt. akan menyelamatkan iman kita dari ujian yang dahsyat ini.

HADIS 29: KELEBIHAN IBADAT DISAAT-SAAT HURU HARA
Daripada Ma’qil bin Yasar ra. berkata Rasulullah bersabda: "Beribadat di saat-saat huru hara (dunia kacau bilau) adalah seperti berhijrah kepadaku". (Riwayat Muslim)

Keterangan:
Orang yang mampu beribadat dan menunaikan kewajipan agamanya di saat-saat yang penuh dengan huru hara dan gangguan dari segenap penjuru, dan mampu mengingati Allah swt. di saat-saat orang lain lupa dan di sibukkan dengan perkara-perkara yang melalaikan.

Mereka akan diberikan pahala seperti pahala hijrah yang telah dilakukan oleh kaum Muhajirin di zaman Rasulullah saw. Mudah-mudahan kita termasuk di kalangan mereka yang mampu beribadat walaupun di dalam keadaan dan suasana yang sangat menyibukkan, dan mudah-mudahan kita mendapatkan pahala besar yang telah dijanjikan oleh Rasulullah saw. tadi.

HADIS 30: PEPERANGAN DI KAWASAN SUNGAI FURAT (IRAQ) KERANA MEREBUT KEKAYAAN
Daripada Abu Hurairah r.a., bahawasanya Rasulullah saw. bersabda; 'Tidak terjadi hari qiamat sehingga Sungai Furat (Sungai Euphrates iaitu sebuah sungai yang ada di lraq) menjadi surut airnya sehingga ternampak sebuah gunung daripada emas. Ramai orang yang berperang untuk merebutkannya. Maka terbunuh sembilan puluh sembilan daripada seratus orang yang berperang. Dan masing-masing yang terlibat berkata, "mudahmudahan akulah orang yang terselamat itu". Di dalam riwayat lain ada disebutkan; "Sudah dekat suata masa di mana sungai Furat akan menjadi surut airnya lalu ternampak perbendaharaan daripada emas, maka barangsiapa yang hadhir di situ janganlah ia mengambil sesuatu pun daripada harta itu". (Riwayat Bukhari & Muslim)

Keterangan:
Hadis ini jelas sekali menerangkan bahawa di kawasan Iraq dan disekitarnya akan berkobar peperangan yang berpunca dari merebutkan kekayaan yang ada di sana dan ramai yang terkorban dan masing-masing pihak bercita-cita seandainya merekalah yang terselamat.

40 Hadith Tentang Peristiwa Akhir Zaman

Oleh kerana terdapat 40 Hadis maka untuk disatukan dalam satu entri akan menjadi terlalu panjang maka ianya telah dibahagikan kepada 4 entri yang setiap satunya mengandungi 10 hadis. Teruskan ke bahagian seterusnya melalui pautan berikut :
Terima kasih bersama Relaks Minda

 جَزَاكُمُ اللهُ خَيْرًا كَثِيْرًا وَجَزَاكُمُ اللهُ اَحْسَنَ الْجَزَاء
Jazakumullah Khairan Katsiran Wa Jazakumullah Ahsanal Jaza’
“Semoga Allah SWT akan membalas dirimu dengan kebaikan yang banyak dan semoga Allah SWT akan membalas dengan balasan yang terbaik.”


6 comments - "40 Hadith Tentang Peristiwa Akhir Zaman (Hadis 21-30)"

Tanpa Nama delete icon 12:52 PTG

Ya Allah takut juga mengenangkan peristiWA yang berlaku akhir zaman ini.

wan muliani delete icon 3:59 PTG

dunia sudah akhir zamannn...

HAMIDIsP delete icon 10:59 PTG

Yang sangat menakutkan adalah golongan Ulama yang menjual agama demi kepentingan dunia.

Khir Khalid delete icon 11:15 PG

Sekarang ni pun masa sudah semakin menjadi singkat.. padang arafah pun dah nampak kesuburannya. Dunia pun dah semakin mengecil... Allah...

mselim3 delete icon 11:33 PG

Assalammualaikum... BM,

Hadis 27 nie di negara Arab yang kawasannya sesetengah tempat nyer memang kering dan tandus telah berubah menjadi lembah oasis yang subur untuk bercucuk tanam... mselim3 ada tengok kat blog member ... detik islam...

mselim3

Fiza Rahman delete icon 3:55 PTG

Hadis 25. Memang masa berlalu dengan begitu pantas.

Coretan anda amat-amat dihargai. Terima kasih bersama 'Relaks Minda - ilmu dikongsi bersama' - “Jazakumullah Khairan Katsiran Wa Jazakumullah Ahsanal Jaza”

 
Copyright © 2015 Relaks Minda - Ilmu Dikongsi Bersama - All Rights Reserved - About Me - Policy - Disclaimer - Sitemap