بِسْــــــــــــــــــمِ اﷲِالرَّحْمَنِ اارَّحِيم

10 Tips Kebangkitan Umat Islam Masa Kini
Kebangkitan Umat Islam Masa Kini
Assalamualaikum... Salam Jumaat buat semua umat Islam. Semoga kita semua dalam keadaan sihat sejahtera dan rahmati Allah SWT. Hari Jumaat yang mulia ini marilah sama-sama kita merebut ganjaran berganda yang hadir seminggu sekali ini. ..."Ganjaran berganda dihari Jumaat"

Terlalu lama dalam draft, dah lupa dimana saya salin artikel ini. Oleh kerana kandungannya amat baik dan bermanfaat serta dapat dijadikan renungan dan ingatan maka perlu ianya dikongsi bersama.

Semoga kita semua beroleh manfaat dan semoga umat Islam kembali sedar dan bangkit dari kelalaian yang sering kali melemahkan kita.

Marilah sama-sama kita renung dan bincangkan bersama mengenai 10 tips ke arah kebangkitan umat Islam di muka bumi masa kini yang selama ini semakin merosot disebabkan umat Islam sekarang terlebih mengidolakan barat yang jelas menentang dan cuba menjatuhkan Islam. 

10 Tips Kebagkitan Umat Islam 

Kalau anda semua ada pendapat dan pandangan mari kita berkongsi untuk kebaikan umat Islam. 10 tips yang dimaksudkan saya ialah :

1. Beralih Daripada Format Dan Simbol Kepada Hakikat Dan Kandungan

Pada zahirnya kelihatan gerakan kebangkitan Islam hanya menumpukan perhatian kepada perkara-perkara yang mencorakkan simbol dan meninggalkan isi kandungannya yang jauh lebih penting. Umpamanya, seseorang yang selalu membesar-besarkan kedudukan jari telunjuk didalam bacaan tahaiyad solat, tetapi pada waktu yang sama meninggalkan perbincangan tentang sebab, tujuan dan kepentingan tuntutan solat itu sendiri secara keseluruhannya.

2. Beralih Daripada Perdebatan Kepada Perbuatan

Sebahagian gerakan Islam gemar membakar tenaga dengan mengungkit kesalahan dan kelemahan gerakan yang lain. Pada waktu yang sama, gerakan itu sendiri tidak berbuat apa-apa atau memberikan alternatif cadangan yang bermanfaat secara menyeluruh kepada Islam dan umatnya. Sikap begini perlu berubah. Tenaga dan masa seharusnya tidak dibakar demi apa-apa kelemahan atau kesalahan gerakan lain seharusnya diperbetulkan secara positif dan bermusyawarah.

3. Beralih Daripada Sikap Emosional Kepada Sikap Ilmiah

Kerana semangat yang berlandaskan emosi tanpa kematangan yang berlandaskan ilmu, didapati sebahagian gerakan Islam lebih cenderung mengkritik, melabel dan menghukum sesama umat Islam tanpa berlandaskan ilmu yang sebenar. Bahkan dalam tindakan itu sendiri jelas terserlah sifat-sifat kejahilan yang keamatan. Sikap sebegini perlu berubah, seharusnya semangat itu didirikan di atas ilmu dan aqidah atau sekurang-kurangnya selari dengan tahap ilmu.

4. Beralih Daripada Sikap Menumpukan Perhatian Dalam Masalah Cabang Kepada Masalah Pokok

Seringkali gerakan Islam menumpukan perhatian hanya kepada masalah cabang, seperti membaca Bismillah dengan kuat atau perlahan di dalam solat berjemaah, tetapi pada waktu yang sama meninggalkan masalah pokok, seperti orang yang tidak bersolat jamaah langsung. Seharusnya gerakan Islam memberi tumpuan yang mendalam kepada masalah pokok dan bersikap toleransi dalam masalah cabang. Apa guna mengukuhkan cabang jika pokoknya sendiri amat lemah ?

5. Beralih Daripada Sikap Menyulitkan Kepada Sikap Memudahkan

Islam adalah agama yang sentiasa bercirikan kemudahan. Akan tetapi sayang sekali sebahagian gerakan Islam memiliki ciri-ciri menyulitkan sehingga menyebabkan banyak orang menjauhi Islam, umpama mereka ada yang memaksa seseorang yang baru hendak memeluk Islam dengan amalan bersunat/berkhatan, padahal amalan ini bukanlah sepatutnya menjadi agenda pertama dalam dakwah kepada kaum bukan Islam.

10 Tips Kebangkitan Umat Islam Masa Kini

6. Beralih Daripada Sikap Jumud Dan Taqlid Kepada Sikap Ijtihad Dan Pembaharuan

Di antara gerakan Islam masih ada yang berpendapat bahawa pintu-pintu ijtihad telah ditutup dan pembaharuan hukum Islam adalah tidak perlu. Mereka memaksa umat Islam untuk bertaqlid kepada mazhab-mazhab tertentu sahaja dan apa-apa perkembangan terbaru dalam tamadun manusia adalah suatu yang harus dikesampingkan dan ditinggalkan kerana ia kononnya tidak dirangkumi oleh syariat Islam.

Sikap negatif seperti ini perlu diubah, pertama kerana para Imam Mazhab sendiri bertegas tidak memaksa umat Islam untuk bertaqlid kepada mazhab mereka dan kedua, para Imam Mazhab sendiri berubah-ubah fatwa mereka selari dengan peredaran zaman dan tamadun semasa kehidupan mereka sendiri.

7. Beralih Daripada Sikap Eksklusif Kepada Sikap Inklusif

Eksklusif ialah sikap sukakan publisiti atau sikap mengunggulkan diri sendiri dan menyisih serta memperlekeh orang lain manakala inklusif ialah sikap merendah diri sendiri agar sama rata mencakupi semua orang.

Malang sekali sikap eksklusif, yang mirip kepada sifat Iblis yang enggan bersujud kepada Adam A.S telah menjadi ciri-ciri sebahagian gerakan Islam. Masing-masing mengunggulkan gerakan sendiri sehingga akhirnya menjadilah gerakan Islam sesuatu yang berpisah-pisah. Seharusnya sikap eksklusif ini dikikis dan diterapkan sikap inklusif yang bercirikan jamaah dan kerjasama.

8. Beralih Daripada Sikap Berlebih-Lebihan Kepada Sikap Bersederhana

Islam agama pertengahan, apa yang berpisah daripada pertengahan ini disebut sebagai berlebihan (ghuluw). Agama pertengahan ini tidak condong kepada sikap remeh dan tidak juga condong kepada sikap fanatik. Sayang sekali ada diantara gerakan Islam yang condong ke arah meremehkan syariat Islam seperti mana aliran liberalisme. Ada juga yang condong ke arah berlebihan seperti aliran fanatisme. Yang benar gerakan Islam berada di antara kedua-duanya kerana inilah jalan yang lurus dalam menghasilkan kejayaan sebenar.

9. Beralih Dari Sikap Berkeras Kepada Sikap Berhikmah

Sebahagian gerakan Islam, kerana sikap putus asa mereka beralih daripada manhaj dakwah dengan hikmah kepada manhaj kekerasan dengan senjata. Mereka membunuh jiwa dan melakukan kerosakan harta benda yang akhirnya hanya akan menggagalkan secara keseluruhan usaha kebangkitan Islam. Seharusnya gerakan Islam memiliki sifat sabar dan bertahap-tahap. Tidak boleh menanam benih di pagi hari dan mengharapkan ianya berbuah di petang hari.

10. Beralih Daripada Pertelingkahan Kepada Persatuan

Antara faktor utama yang menghalang kejayaan gerakan Islam mutakhir iniialah pertelingkahan sesama gerakan atas hal-hal khilaf dan dzanni (hukum yang samar-samar). Padahal syariat Islam mewajibkan umatnya sesuatu yang di sebaliknya, iaitu bersatu dan jangan berpecah. Selagi gerakan Islam berpecah dan bertelingkah, selagi itulah kejayaan menjauhi umat ini.

10 Tips Kebangkitan Umat Islam Masa Kini

Inilah 10 tips kebangkitan umat Islam masa kini yang dapat saya kupaskan sebagai perkongsian kita bersama untuk memulakan dakwah Islam kita dengan lebih berkesan lagi. Semoga ianya memberi manfaat dan kebaikan bersama. InsyaAllah...

Bukan senang nak berdakwah ianya lebih teruk lagi dari segala pekerjaan dunia. Bersedialah seorang penda’ie (pendakwah) untuk dicaci dan dihina, bersedia menghadapi cabaran dan dugaan, bersedia untuk mengorbankan segala masa, harta dan nyawa. Jika ada pendakwah seperti ini, saya yakin dengan Allah kita akan berjaya menegakkan syiar Islam di bumi ini.


Terima kasih bersama Relaks Minda. Ingat... Blogger juga adalah seorang pendakwah...

Author by Bin Muhammad

15 comments - "10 Tips Kebangkitan Umat Islam Masa Kini"

Sungguh bagai dikata namun apa yg kita lihat ada sebahagiannya kian menuju ke arah tersebut tapi banyak yg kelihatannya bagaikan masih belum dicapai lagi terutama bab penyatuan ummah..

Berdasarkan pemerhatian saya dalam konteks sosial mahupun politik masyarakat kita hari ini, kita masih lagi jauh untuk bangkit kembali sebagaimana pada zaman keemasan tamadun Islam suatu ketika dahulu.

paridah delete icon 10:46 PG

insya Allah kita pasti akan dapat capai apa yg kita harapkan demi pembangunan Islam menuruti masa perlahan-lahan

ZaridaIshak delete icon 10:49 PG

Pejuang itu memang pahit... apatah lagi untuk keagungan Islam. Namun manisnya akan dinikmati di sana kelak... selamat berjuang!!!

harus kita bangkit... mulakan dengan institusi keluarga kita

sitirohaida delete icon 11:12 PG

salam jumaat BM and thanks for the tips..memang amat berguna..

Zawiah delete icon 1:15 PTG

sesama Islam lebih byk mengkritik drp bersatu ... laluan penyatuan ummah masih sukar kerana beza pandangan dan pendapat .

Berlapang dada.....

Dunia Zumal delete icon 7:53 PTG

Alhamdulillah BM, perkongsian ini dapat menambah ilmu untuk zumal... Terima kasih :)

Abam Kie delete icon 11:53 PTG

as salam. umat Islam perlu bersatu utk melawan anasir2 jahat spt yahudi n nasrani...

Khir Khalid delete icon 8:47 PTG

In shaa Allah... semoga menjadi panduan & peringatan buat kita semua. T kasih atas perkongsian yg bermanfaat ini BM..

Satu cetusan minda yang baik, BM. Moga kita menyedarinya selaku umat Islam kini.

Benar sekali pendapat ini, sangat bernas, satu perkongsian yang baik BM...Malang sekali ramai umat Islam tak suka info berbentuk ilmu, melainkan hiburan sahaja

Tanpa Nama delete icon 2:23 PTG

tulislah yang baik²...

Fiza Rahman delete icon 3:42 PTG

Thanks atas perkongsian BM.

Coretan anda amat-amat dihargai. Terima kasih bersama 'Relaks Minda - ilmu dikongsi bersama' - “Jazakumullah Khairan Katsiran Wa Jazakumullah Ahsanal Jaza”

 
Copyright © 2015 Relaks Minda - Ilmu Dikongsi Bersama - All Rights Reserved - About Me - Policy - Disclaimer - Sitemap