بِسْــــــــــــــــــمِ اﷲِالرَّحْمَنِ اارَّحِيم

Assalamualaikum dan salam sejahtera. Sedikit perkongsian yang sebenarnya sangat memberi kesan serta ingatan mendalam buat BM pada hari Jumaat yang mulia ini. Hari ini khutbah Jumaat yang dsampaikan oleh khatib agak berbeza dari biasa.

Satu kisah yang sangat menarik dan begitu mengesankan. Inilah yang BM ingin kongsikan bersama anda. BM telah sunting khutbah Jumaat tersebut dengan mengambil terus kepada topik dan isi kandungan penting sahaja.

Untuk teks penuh khutbah Jumaat ini, sila download di sini: “DUNIA IBARAT SETITIK MADU” - pdf file

Nikmat Dunia Ibarat Setitik Madu

Khutbah Jumaat

Dalam detik-detik yang penuh keberkatan ini, dengan diselubungi oleh suasana khusyu’ dan tawadhu’, dengan penuh rasa kegerunan bercampur harapan, marilah kita memuhasabah diri melalui khutbah yang bertajuk “DUNIA IBARAT SETITIK MADU”.

Al-kisah maka tersebutlah perihal seorang pemuda yang sedang merayau-rayau dalam sebuah hutan belantara. Tiba-tiba ia terserempak dengan seekor gajah yang sedang naik minyak, tidak semena-mena gajah itu meluru dan ingin menerkam pemuda tersebut.

Lalu dengan tidak berlengah lagi pemuda itu lari dengan sekuat hatinya untuk menyelamatkan diri dari angkara gajah itu,

Nasib pemuda itu agak malang, tiada lagi tempat ia melarikan diri kerana ia berhadapan dengan sebuah gaung yang curam lagi dalam, sedangkan gajah yang sedang menggila itu terus mengejarnya dari belakang.

Tidak ada jalan lain bagi pemuda itu melainkan terjun ke dalam gaung tersebut untuk menyelamatkan dirinya. Pemuda itu bernasib baik kerana ia tersangkut di atas dahan pohon kayu yang tinggi.

Dia terasa lega dan menarik nafas panjang kerana terlepas dan terselamat dari angkara gajah yang menggila itu lalu cuba untuk bertenang dan berfikir bagaimana ia akan dapat turun dari pohon yang tinggi tersebut.

Dalam pada itu, sedang ia cuba melihat-lihat kebawah tiba-tiba ia ternampak beberapa ekor ular besar yang kelihatan ganas berlingkar di pangkal pohon tersebut.

Ia kebingungan dan fikirannya bertambah gusar lebih-lebih lagi apabila ia mendapati ada dua ekor tikus besar yang sedang menggerit-gerit pangkal dahan tempat ia berpaut itu,

Dahan tersebut semakin lama menjadi semakin genting dan dalam suatu masa yang tidak dapat dijangka, pasti akan patah terkulai jua akhirnya.

Helah demi helah diandaikan dalam benaknya, tiba-tiba ia ternampak sekumpulan lebah yang sedang bersarang di dahan sebelah atas tempat ia berpaut itu.

Pemuda tersebut dengan serba kepayahan memberanikan diri menjolok sarang lebah itu dengan menggunakan jarinya, ia dapati setitis madu melekat di hujung jarinya lalu ia menjilat dan terus menjilat demi menikmati madu yang tak seberapa itu.

Dia terus menerus berbuat bagitu berulang kali hingga akhirnya ia alpa dan lupa akan nasib yang pasti akan menimpanya.

Hadirin Jumaat yang dirahmati Allah, Demikianlah berakhirnya kisah pemuda yang malang itu. Ia adalah sebuah kisah kiasan yang dihimpun oleh Ibn Al-Muqaffa’ (meninggal pada tahun 142Hijri) dalam buku beliau yang bertajuk KALILAH WA DIMNAH. Ibn Muqaffa’

Setelah mengakhiri kesah tersebut beliau memberikan tausiah dan taujihat kepada pembaca, ujarnya;
“…demikianlah wahai saudaraku! sebuah contoh kehidupan sebahagian orang yang hidupnya tenggelam dalam kelalaian, sedangkan kenikmatan dunia ibarat setitik madu itu jika tidak berhati-hati boleh membuatkan manusia lupa kepada kehidupan akhirat yang hakiki dan pastinya ia akan menempuh situasi yang sangat sukar”.

Sindiran atau nasihat Ibn al muqaffa’ itu memanglah bernas dan jitu. Sesungguhnya ia amat bertepatan dengan ancaman Allah dan Rasul-Nya. Dalam hubungan ini terdapat banyaknya ayat al-quran dan hadis mengingatkan kita agar jangan lalai, jangan lalai dan jangan lalai.

Firman Allah SWT dalam surah al-munafiqun ayat 9 yang bermaksud;
“Kamu telah dilalaikan (daripada melakukan ketaatan kepada Allah) oleh perlakuan bermegah-megah (saling bangga membangga dengan harta, anak pinak, pangkat dan pengaruh). Sehingga kamu masuk ke liang kubur. Jangan sekali-kali (bersikap demikian)! Kelak kamu akan mengetahui (akibat buruknya semasa hendak mati)! Sekali lagi diingatkan); jangan sekali-kali (kamu bersikap demikian)! Kelak kamu akan mengetahui (akibat buruknya pada hari kiamat)!. Sesungguhnya! Kalaulah kamu mengetahui (apa yang kamu akan hadapi) dengan pengetahuan yang yakin, (tentulah kamu akan mengerjakan perkara-perkara yang akan menjadi bekalan kamu untuk hari akhirat). (Ingatlah) sesungguhnya kamu akan melihat neraka yang marak menjulang. Kemudian itu, sesungguhnya kamu (wahai orang yang derhaka) akan melihatnya dengan penglihatan yang yakin (semasa kamu dilemparkan ke dalamnya)! Kemudian sesungguhnya kamu akan ditanya pada hari itu, tentang segala nikmat (yang kamu telah menikmatinya di dunia).”

Marilah kita menghayati beberapa intisari yang akan kita bawa pulang hingga kita bertemu semula pada hari jumaat yang akan datang seperti berikut;
  1. Umat Islam diseru supaya sentiasa ingat bahawa kehidupan kita di dunia ini akan berakhir dengan kematian. Dan sesudah itu kita akan berpindah kealam akhirat yang lebih kekal dan abadi.
  2. Umat Islam diseru supaya terus menyedari bahawa kealpaan dan kelalaian akan mengheret kita kepada kesesatan.
  3. Umat Islam diseru supaya sentiasa waspada bahawa kenikmatan di dunia yang Allah kurniakan adalah ujian bagi keimanan kita.
  4. Umat Islam diseru supaya menghayati janji-janji Allah bahawa ganjaran yang sungguh lumayan pasti akan kita raih di alam akhirat nanti.

“Wahai jiwa yang tenang. Kembalilah kepada Tuhanmu dengan hati yang puas lagi diredhai-Nya. Maka masuklah engkau dalam kumpulan hamba-hamba-Ku Yang berbahagia. Dan masuklah ke dalam syurga-Ku!” (al-Fajr ; 27-30)

Ingatan Bersama

Semoga kita semua beroleh ingatan, panduan dan pedoman untuk menjadi insan serta muslimin dan muslimat yang lebih sempurna. Madu itu manis dan enak tetapi nikmatnya hanya seketika... Janganlah kita terlalai dan alpa dengannya.

Petikan di atas adalah dari Khutbah Jumaat 28 Oktober 2016, “Dunia Ibarat Setitik Madu” - Jabatan Agama Islam Selangor

Relaks Minda - "ilmu dikongsi bersama"

 جَزَاكُمُ اللهُ خَيْرًا كَثِيْرًا وَجَزَاكُمُ اللهُ اَحْسَنَ الْجَزَاء
Jazakumullah Khairan Katsiran Wa Jazakumullah Ahsanal Jaza’
“Semoga Allah SWT akan membalas dirimu dengan kebaikan yang banyak dan semoga Allah SWT akan membalas dengan balasan yang terbaik.”

1 comments

Bahrain delete icon 4:30 PTG

Nikmat duniat baru setitik madu kalau nikmat syurga lagi tak terkata dan digambarkan.

Coretan anda amat-amat dihargai. Terima kasih bersama 'Relaks Minda - ilmu dikongsi bersama' - “Jazakumullah Khairan Katsiran Wa Jazakumullah Ahsanal Jaza”

 
Copyright © 2015 Relaks Minda - Ilmu Dikongsi Bersama - All Rights Reserved - About Me - Policy - Disclaimer - Sitemap